Ketua Pegawai Eksekutif Kum­­pulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes sebaliknya berkata, beliau berbangga dengan tindakan juruterbang berkenaan, Kapten Ibrahim dan pegawai utama Vincent serta Purser Ruijaruuneglai kerana menjalankan tugas dengan hebat serta berjaya membawa semua penum­pang termasuk anak kapal pulang dalam keadaan selamat.

“AirAsia tidak mencipta enjin dan semua penerbangan me­ngalami kegagalan enjin. Te­tapi apabila berlaku kejadian sedemikian, kita memerlukan juruterbang dan kepemimpinan yang hebat menangani krisis.

“Saya cukup bangga, daripada rakaman video semua dapat melihat para penumpang tenang dan daripada banyak e-mel serta WhatsApp yang saya terima, pe­ngumuman kapten membuatkan semua tenang,” katanya dalam status di Facebook beliau, semalam.

Jelas Tony, jika syarikat pener­bangan penuh, juruterbang ber­kenaan akan dijulang seperti hero tetapi kerana AirAsia hanya sebuah syarikat tambang murah maka ada yang muncul sebagai pa­kar dan membuat pelbagai tuduhan liar.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun menegaskan, tidak salah untuk berdoa da­lam mana-mana agama ter­utamanya ketika seseorang ber­ada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan tuhan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X dalam nada menyindir berkata, adalah mudah untuk membuat kenyataan apabila berada dalam keadaan yang selamat di darat.

“Bukan senang untuk mengen­dalikan keadaan seperti ini tetapi objektifnya adalah jelas iaitu untuk mendaratkan pesawat de­ngan selamat dan memastikan semua yang berada di dalamnya selamat,” katanya.