Jelas Ahli Parlimen Muar itu lagi, walaupun prinsipnya setiap hutang adalah perlu dibayar namun bayaran semula itu perlu adil dan tidak membebankan peminjamnya.

“Saya ambil maklum pandangan dan rintihan yang disampaikan oleh anak muda berkenaan kadar pembayaran semula PTPTN. Pada esok hari, semasa Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa suara anda supaya perkara ini dapat dipertimbangkan semula.

“Saya percaya walaupun kita perlu membayar semula hutang, bayar tetap bayar, tetapi bayaran itu perlu adil untuk membantu anak muda dan tidak terlalu membebankan mereka khususnya yang selama ini telah membayar, selepas berunding dengan PTPTN, patuh kepada syarat dan bayar menepati masa,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, agensi berkenaan akan melaksanakan kaedah PGB bermula Januari 2019 mengikut peratus potongan daripada gaji pemimjam.

Kaedah baharu ini dilaksanakan mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan. Peratus potongan adalah di antara 2 peratus hingga 15 peratus.

Menurut Wan Saiful, kaedah PGB ini juga dilihat lebih adil terutama kepada peminjam yang kurang berada berbanding bayaran menerusi kaedah lama yang bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik.- UTUSAN ONLINE.