Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhubung perkara itu dan sehingga kini, tidak banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan.

“Hanya sedikit yang belum dipersetujui namun kita percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Saya akan minta jemaah menteri untuk lanjutkan tempoh sebulan lagi,” katanya pada sidang akhbar.

Xavier Jayakumar yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, me­lapor diri di Wisma Sumber Asli di sini hari ini selepas mengangkat sumpah setelah dilantik menerajui kementerian itu, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi di bawah kementerian yang baru diwujudkan itu.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan kerajaan negeri Selangor hanya menyelesaikan pengambilalihan tiga syarikat konsesi air yang lain.

Mengulas lanjut, Xavier Jaya­kumar berkata, tarikh akhir untuk mengetahui kedudukan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor sepatutnya berakhir esok (4 Julai).

Ketika ditanya mengapa isu air itu mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, beliau yang sebelum ini menjadi Exco negeri Selangor dan pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Mentah Selangor sejak 2014 itu enggan mengulas lanjut namun berkata kesemua pihak terlibat menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan segera isu berkenaan.