Keadaan menjadi semakin mengelirukan apabila Timbalan Presiden PKR itu cuba mengalihkan isu tersebut dengan membangkitkan perkara-perkara yang tidak berkepentingan terhadap keperluan rakyat khususnya di Selangor.

Sebaliknya, jika membabitkan pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN), beliau laju menyerang balas menanyakan soalan dan menggesa supaya kepemimpinan tertinggi negara menjawab dengan segera.

Bermula dengan usaha beliau cuba ‘memalukan’ Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu apabila mengaitkan kemelut 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan hutang negara yang akhirnya memakan diri.

Kemudian Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP Selangor ini ditempelak selepas beliau menyatakan ingin mencampak Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang ke dalam empangan bagi membuktikan air di Selangor adalah mencukupi.

Sedangkan Dr. Zaini membangkitkan soal margin simpanan air di negeri itu dan bukan mengenai jumlah air di empangan.

Hari ini pula, lain ditunggu lain yang keluar apabila Mohamed Azmin memuat naik Laporan Kajian Semula Persempadanan yang dibentangkan di Dewan Rakyat menerusi status akaun Facebook beliau yang menjadi bahan bualan para netizen.

Seorang netizen yang dikenali sebagai Adnaf Fakih memperlekehkan Mohamed Azmin yang masih belum menjawab isu tersebut sekali gus menunjukkan beliau gagal memahami perbezaan antara air mentah di empangan dengan air terawat.

“Air terawat dengan air empangan pun kau tak tahu beza lagi nak sembang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi netizen, Jaafar Bakar Apai berkata, isu air dan tanah di Mukim Ijok menyebabkan rakyat Selangor menderita.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Gerakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Nazilah Idris berkata, sikap suka mengalih isu dan menyalahkan orang lain memang dikenali sebagai helah politik Mohamed Azmin.

“Kita tanya isu A, beliau jawab B. Masalahnya, semua jawapan beliau tidak menyelesaikan masalah sebaliknya hanya menyakitkan hati rakyat.

“Isu bekalan air, isu tanah di Mukim Ijok, isu Rumah Selangorku yang dihentikan dan semua ini masih belum dijawab beliau hingga hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.