Istilah tersebut yang memberi tafsiran pencantuman semua etnik dan kaum sebagai satu bangsa turut disifatkan amat merugikan dari segi sejarah seterusnya boleh menenggelamkan identiti sesebuah bangsa.

Penyelidik sejarah dan penulis dari Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Zaharah Sulaiman menganggap bangsa Malaysia tidak bersandarkan kepada fakta dan bukti kukuh berbanding sejarah mengenai Melayu yang diperoleh menerusi kajian mendalam.

“Pada pandangan saya, bangsa Malaysia itu dijelmakan dalam tempoh paling singkat dan satu perencanaan tanpa memikirkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan.

“Apabila istilah itu berterusan digunakan, secara sendirinya identiti bangsa lain terutamanya Melayu yang kita sayangi menerusi asal usul nenek moyang selama puluhan ribu tahun akan hilang begitu sahaja,” katanya dalam Wacana Ilmiah bertajuk Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE