Berdasarkan atur acara istiadat yang diedarkan kepada media dalam taklimat khas di sini hari ini, acara bermula dengan Istiadat Meletak Kerja Pertabalan pada 3 Mei.

Acara itu diikuti Istiadat Tabal Adat pada 6 Mei yang dimulakan dengan Kawalan Kehormat, Istiadat Pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Acara diteruskan pada 7 Mei dengan Sultan Nazrin akan menyempurnakan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak yang bermula di Kuala Kangsar.

Pada sebelah malam, Istiadat Tabal Pusaka akan dijalankan di Balairong Seri Istana Iskandariah dan Istiadat Bersiram Tabal akan dilakukan di Panca Persada.

Seterusnya, istiadat menziarahi makam-makam Sultan Perak bermula pada 8 Mei apabila Sultan Nazrin berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar dan Makam Alang Iskandar atau Marhum Teja di Kota Bharu, Gopeng.

Pada 10 Mei, baginda dijadual melawat makam-makam Sultan Perak sekitar Kuala Kangsar disusuli di sepanjang pesisir Sungai Perak antaranya di Manong, Belanja, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Kampung Gajah sehingga 12 Mei.

Sultan Nazrin dijadualkan mula menziarahi makam-makam Sultan Perak menggunakan jalan air dengan menaiki bot khas yang dinamakan Balai Gambang dari Jeti Pasir Salak pada 13 Mei.

Antara makam-makam yang akan diziarahi termasuk di Kampung Pasir Pulai, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Tanjung Penangguh, Pasir Panjang Ulu dan makam terakhir di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.

Istiadat kemuncak pertabalan ialah baginda akan menziarahi Beting Beras Basah di Bagan Datoh pada 14 Mei sebelum istiadat berakhir dengan Majlis Menutup Kerja pada 17 Mei.

Taklimat hari ini disampaikan oleh Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Anuar Zaini dan Pengarah Penerangan negeri, Muhamad Aszahari Abdul Rahman serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohd. Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Seranta, Penerbitan, Cenderamata, Belia dan Pelajar berkata, istiadat pertabalan bukan untuk berpesta, bersuka ria atau bermegah-megah dan mewah sebaliknya mahu meneruskan kesinambungan adat dan budaya.

‘‘Baginda mahu mendekati rakyat termasuk golongan muda menerusi program seperti pertandingan esei, pidato serta larian sempena pertabalan,’’ katanya.

Sementara itu, Muhamad Aszahari berkata, setakat ini seramai 471 pengamal media dari 45 agensi telah membuat permohonan bagi membuat liputan istiadat pertabalan.