Istiadat Penyembahan Kembali Baur menyaksikan penyerahan semula Keris Kuasa oleh Sultan Perak yang dimiliki oleh baginda sewaktu menjadi Raja Muda untuk dipulangkan ke istana bagi diserahkan kepada Raja Muda yang baharu.

Sewaktu istiadat tersebut berlangsung, anakanda Sultan Nazrin, Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah sebagai waris raja pemerintah, menyerahkan Keris Kuasa tersebut kepada Sultan Nazrin sebelum baginda membalas pemberian itu dengan men­yerahkan sampul berisi duit siling.

Istiadat Menjunjung Duli iaitu penganugerahan rasmi gelaran Raja Muda Perak kepada Raja Jaafar Raja Muda Musa, kemudiannya menyusul selepas itu.

Raja Jaafar yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri, memulakan istiadat itu dengan duduk bertenggul dan mengangkat sembah sebelum Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran diikuti laungan ‘Daulat’ sebanyak tiga kali oleh para tetamu.

Raja Jaafar kemudian maju ke hadapan, diiringi paluan nobat dan sebaik sampai di hadapan singgahsana, baginda kembali duduk bertenggul dan bergerak ke hadapan dalam keadaan mengesot.

Sultan Nazrin kemudian menghunus Pedang Cura Si Manja Kini dan meletakkan mata pedang itu ke atas kepala, bahu kiri dan kanan Raja Jaafar sebelum menyarung kembali pedang itu lalu mencucukkan Pacak Ketor di se­belah kanan tengkolok Raja Muda disusuli taburan bunga mawar.

Selepas itu, Keris Kuasa dise­rahkan kepada Raja Jaafar sebelum baginda mengesot dan berundur kembali dan diselubungkan kepala dengan kain berwarna kuning lalu dibawa keluar dari kawasan Istana Iskandariah dengan menaiki kereta untuk menyeberangi Sungai Perak.

Setiausaha Dewan Negara Pe­rak, Datuk Ayop Hashim Ayop berkata, mengikut adat, selepas istiadat tersebut, Raja Muda dilarang melihat Istana Iskandariah termasuk wajah dan gambar Sultan Perak selama seminggu.

“Untuk mengelak daripada terpandang, hatta gambar Sultan Perak sekalipun, kebiasaannya Raja Muda akan dibawa keluar dari Perak,” katanya.