Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan Hari Kepute­raan Sultan Muhammad V.

Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Man­sor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sebanyak lima panji-panji diarak dalam istiadat itu iaitu Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Dataran Pahlawan Negara pada pukul 9.35 pagi itu disambut dengan nyanyian lagu Negaraku bersekali dengan tembakan meriam kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja oleh pasukan kawalan kehormat yang dianggotai 25 pegawai dan 563 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dengan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Othman.

Perbarisan selama sejam itu turut dimeriahkan dengan acara terbang lintas lima helikopter milik ATM iaitu Nuri, EC725, Alloute dan WASP dengan membawa Jalur Gemilang.

Turut dipersembahkan ialah acara pancaragam yang mengi­ringi istiadat perbarisan tersebut oleh gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya.

Menyusul kemudian, istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan Daulat Tuanku! sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat.