Wanita itu ditahan ketika membonceng motosikal yang ditunggangi suaminya yang dipercayai sedang melakukan aksi rempit bersama berpuluh penunggang motosikal lain.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suami isteri itu tidak memiliki lesen memandu selain memandu dalam keadaan berbahaya.

Beliau memberitahu, dalam operasi tersebut polis berjaya menahan 105 penunggang motosikal bersama 30 pembonceng.

"Operasi itu dilancarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bermula pukul 4 petang semalam dan berakhir pukul 11 malam tadi yang disertai 10 pegawai dan 72 anggota termasuk tujuh anggota Pasukan Sukarelawan Polis.

"Sebanyak 47 buah motosikal disita dan 188 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, memandu secara berbahaya dan mengubahsuai motosikal," katanya dalam akhbar di sini malam tadi.

Mohd. Said berkata, penahanan tersebut adalah yang terbesar setakat ini selepas polis menerima aduan berkaitan berlakunya aktiviti rempit berhampiran Kampung Geliga, Chukai dekat sini.

"Kesemua penunggang motosikal terbabit diarah menyorong motosikal mereka hampir lima kilometer melalui Bandar Chukai ke IPD Kemaman untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

"Sebelum itu kesemua penunggang motosikal terbabit telah dibawa ke sebuah surau berdekatan untuk menunaikan solat maghrib," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd. Said, hasil ujian air kencing ke atas kesemua penunggang terbabit didapati negatif dan mereka akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE