Lebih menyayat hati, suami kepada Siti Rohana Redzuan, 36, yang tiba di rumah kira-kira pukul 8.30 malam mendapati isterinya berada di atas katil dalam keadaan kaku, di sisi ke­dua-dua anak mereka yang berusia sebulan lebih dan 19 bulan.

Kali terakhir dia melihat isterinya ketika hendak keluar dari rumah untuk bekerja kira-kira pukul 6.30 pagi hari sama dan pada masa itu isterinya masih sedang nyenyak tidur.

Ketua Polis daerah, Superin­tenden Razak Md. Said yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, wanita itu ialah seorang guru sekolah menengah di daerah ini.

“Menurut kenyataan suami mangsa yang berusia 35 tahun itu, isterinya masih dalam tempoh bercuti selama lebih sebulan selepas melahirkan anak keduanya.

“Pihak Hospital Temeng­gong­ Seri Maharaja Tun Ib­ra­­him­ (HTSMTI) di Ku­lai­­ mengesahkan Siti Ro­ha­na telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razak berkata, ketika mangsa ditemui, kedua-dua anaknya yang masih kecil berada di kiri dan kanan Allahyarham dalam keadaan jaga.

Katanya, hasil bedah siasat yang dilakukan pihak hospital semalam mengesahkan punca kematian mangsa adalah berpunca daripada paru-paru berair dan masalah jantung.