Noor Ezza Rina berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima ijazah itu bagi pihak Allahyarham Mohd. Fairus Ramlan, pada Majlis Konvokesyen Ke-45 Sesi Kedua Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, di sini hari ini.


Ijazah berkenaan bagi Program Keselamatan Siber disampaikan Pro-Canselor UKM, Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar dan yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Ibrahim Saad dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.


Noor Ezza Rina berkata, dia sebenarnya tidak mahu hadir ke majlis konvokesyen berkenaan kerana masih bersedih atas pemergian arwah suaminya namun sewaktu menerima ijazah itu, timbul rasa bangga di hatinya dan berdoa agar anak-anak mereka akan mengikuti jejak langkah yang sama.


“Arwah suami menghembuskan nafas akhir pada 13 Ogos lalu akibat jangkitan kuman pada hati. Sebelum ini dia tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan namun beberapa hari sebelum dia pergi, arwah ada mengadu sesak nafas.


“Walau bagaimanapun, suratan takdir ini harus diterima dengan rela hati dan saya yakin, ada hikmah yang lebih baik untuk kami sekeluarga selepas ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE