Dr Mahathir berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menutup sempadannya kepada sesetengah orang terutama mereka yang negara ini berpendapat melakukan banyak perkara yang salah.

"Banyak negara hari ini melihat orang luar datang ke negara mereka dan amat tidak gembira mengenainya. Mereka gulingkan kerajaan kerana membenarkan pendatang masuk.

"Jadi, sebuah negara mempunyai hak untuk menutup sempadannya kepada sesetengah orang, sebab itu adanya sempadan, tetapi di Malaysia, kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali dan kita berpendapat mereka membuat terlalu banyak kesalahan tetapi tetap terlepas kerana tiada siapa berani untuk berkata apa-apa terhadap mereka," katanya selepas menyampaikan ucapan pada perbincangan Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London awal hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya oleh Presiden Oxford Union, Daniel Wilkinson mengenai larangan Malaysia ke atas atlit Israel untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia yang akan diadakan di Sarawak pada Julai ini.

Perbincangan dan temubual itu juga kemudian dimasukkan dalam akaun Facebook rasmi Dr Mahathir. - BERNAMA