Hari ini, pada Program Ramah Mesra Bersama Orang Asli Pos Brooke yang diadakan di Padang JAKOA di sini, penyanyi program realiti Akademi Fantasia musim ke-5 itu tampil me­nyampaikan empat buah lagu yang jelas memberi keterujaan kepada penduduk.

Pada majlis tersebut, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi menghiburkan masyarakat Orang Asli dengan tampil menyanyikan lagu berjudul Ketahuan daripada Kumpulan Matta, termasuklah dua lagu popularnya, Bila Terasa Rindu dan Girl.

Dafi turut menggamit kena­ngan komuniti itu apabila me­nyanyikan lagu Pencinta Wanita nyanyian penyanyi Indonesia, Irwansyah yang pernah dibawanya ketika konsert mingguan AF5.

Pada tahun 2010, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, Ismail Sabri pernah berjanji ingin membawa anaknya berjumpa komuniti Orang Asli di Pos Brooke sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kawasan itu.

Bagaimanapun atas kekangan masa, beliau tidak sempat menunaikan janji tersebut sehingga akhirnya hasrat masyarakat tersebut direalisasikan hari ini.

Seorang penduduk wanita Orang Asli, Chumoi Kantin, 26, berkata, impian penduduk kampung selama ini yang ingin bertemu penyanyi po­pular itu menjadi kenyataan selepas se­kian lama menanti.

Katanya, pendu­duk kampung begitu meminati penyanyi ber­kenaan sejak dia mema­suki pertandi­ngan rea­liti popular itu.

“Saya masih ingat janji bapanya yang ketika itu beliau adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membawa anaknya ke sini. Kami penduduk Orang Asli gembira kerana janji tersebut ditepati,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Farina Buyong, 23, berkata, dia sungguh gembira apabila dapat mendengar alunan suara Dafi secara langsung dan melihat wajah penyanyi itu daripada dekat.

Katanya, penduduk kampung begitu teruja dan seakan bermimpi apabila apabila penyanyi itu sudi berkunjung ke kampung mereka.

Sementara itu Dafi memaklumkan kepada masyarakat Orang Asli bahawa dia begitu teruja apabila dapat berjumpa dan menghiburkan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

Katanya, dia gembira apabila dapat menunaikan janji bapanya kepada masyarakat Orang Asli dan akan kembali lagi ke kawasan ini jika ada kesempatan.