Alahyarham yang berusia 82 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 malam ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ketua Satu Gapena, Prof. Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, beliau dimaklumkan bahawa Allahyarham yang sejak kebelakangan ini tidak berapa sihat dimasukkan ke wad PPUM sejak empat hari lalu.

“Saya diberitahu mengenai pemergian Allahyarham kira-kira pukul 10 malam ini. Beliau pernah menerajui Gapena selama 41 tahun dan saya berjanji akan meneruskan amanah perjuangan Allahyarham dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.

“Negara kehilangan seorang tokoh kesusasteraan Melayu yang telah banyak menaburkan bakti khususnya dalam bidang penulisan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Menurut Abdul Latiff, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rogayah Abdul Rashid, 80 dan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Katanya, Allahyarham Ismail merupakan seorang tokoh yang komited dalam memperjuangkan jati diri Melayu dan bukan mudah untuk mencari pengganti seperti beliau.

“Saya berharap kerajaan akan mengenang jasa beliau yang selama ini telah mengabdikan diri bagi memperjuangkan bukan sahaja bahasa Melayu tetapi juga perpaduan bangsa Melayu,” kata beliau.

Allahyarham Ismail dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari 1932. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam, kemudiannya di Sekolah St. Michael, Alor Setar, Kedah sebelum berpindah ke Maktab Sultan Abdul Hamid.

Pada tahun 1955, Universiti Malaya telah menerima beliau untuk mengikuti jurusan Pengajian Melayu dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959 dan Ijazah Sarjana pada tahun 1961.

Sebaik sahaja tamat pengajian beliau melanjutkan pengajian di Universiti Leiden, Belanda hingga tahun 1964.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya pada 1960 dan telah dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu pada tahun 1971.

Allahyarham dilantik menjadi Ketua Satu Gapena sejak ditubuhkan lagi pada 23 Oktober 1970 dan memegang jawatan sehingga 2012.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 11 pagi esok.