NOOH GADOT
NOOH GADOT

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, sebagai umat Islam, mereka tidak dibenarkan me­ngaibkan orang lain termasuk mengkafirkan individu tertentu.

Menurut Nooh, mengkafirkan sesama umat Islam bertentangan konsep wasatiyyah yang menekankan pendekatan kesederhanaan dalam kehidupan.

“Kita sebagai manusia tidak boleh mengkafirkan orang, hanya Allah berhak berbuat demikian.

“Nabi Muhammad SAW tidak pernah melakukan perbuatan ini, malah ketika dihina, baginda ha­nya mendoakan kebaikan untuk individu menghina nabi,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja dalam Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, Nooh menyeru para penggiat seni untuk menerbitkan filem atau drama yang menerapkan konsep wasatiyyah.

Katanya, penggiat seni kini lebih gemar menerbitkan karya berbentuk perpecahan dan keretakan rumah tangga.

“Janganlah kita membesar-besarkan perkara negatif dalam kehidupan kepada masyarakat, yang seeloknya terapkan nilai kasih sayang.

“Kalau boleh, terapkan nilai-nilai wasatiyyah dalam filem atau drama,” ujar beliau.

Sementara itu dalam kertas kerjanya, Nooh menegaskan peranan agama perlu ditekankan dalam usaha memerangi keganasan.

Menurut beliau, ajaran murni yang terkandung dalam al-Quran dan sunah mempunyai pendekatan menjurus ke arah keamanan sejagat.

“Perkara ini termasuklah hubungan antara orang Islam dan bukan Islam apabila wahyu menyeru kita saling berkasih-sayang dan hormat-menghormati,” katanya.