Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggapan bahawa agama membantutkan perkembangan negara adalah tidak betul memandangkan telah lahir banyak kerajaan lama dan ketamadunan dunia yang dibangunkan berlandaskan Islam.

Jelasnya, persepsi buruk terhadap Islam berlaku apabila kajian oleh pemikir dan penyelidik Barat yang menjadi rujukan masyarakat antarabangsa, cenderung memperkecilkan sumbangan Islam terhadap ketamadunan dunia berbanding agama-agama lain.

“Saya berharap persepsi masyarakat diperbetulkan bahawa agama tidak pernah menjadi penghalang kepada proses pembangunan dan kemajuan negara. Kita tetap menerima kemajuan, budaya dan nilai baharu dalam masyarakat kita tetapi pastikan tidak bertentangan dengan ajaran agama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama majlis memperkenalkan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) sebagai Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu di bawah naungan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Sosio-Budaya Bagi Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin.

Ahmad Zahid juga meng­umumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Istac dan berharap dana tersebut dapat melicinkan operasi institut itu termasuk memainkan peranan aktif memperbetulkan persepsi buruk masyarakat terhadap Islam.

Dalam pada itu katanya, amat penting apabila Istac menerapkan kepentingan dunia Melayu, memandangkan kemajuan kerajaan Islam pada masa ini turut disumbangkan oleh negara-negara nusantara seperti Malaysia, Brunei dan Indonesia.

“Penganut Islam di Asia Tenggara meliputi Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, selatan Thailand dan selatan Filipina te­lah mencecah ratusan juta. Oleh itu, penduduk Islam di rantau ini merupakan aset penting kepada survival ketamadunan Islam.

“Saya mengharapkan Istac me­nghasilkan banyak kajian me­ngenai Islam merangkumi pelbagai perkara termasuk aspek sosial dan kewangan selari dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia antara negara terbaik di dunia dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu Rais mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri ke­rana mengumumkan peruntukan kepada Istac untuk menampung pelbagai aktivitinya termasuk mengambil tenaga pakar serta menampung penerbitan buku-buku akademik dan penyelidikan.