Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, sebagai pemimpin sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan penganut-penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat apabila kerajaan turut menghulurkan pelbagai bantuan termasuk yang berbentuk kewangan kepada institusi-institusi keagamaan termasuk masjid, gereja serta kuil.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing meskipun Islam adalah sebagai agama rasmi.

“Inilah yang diamalkan Malaysia dan negara ini akan kekal sebagai tempat yang indah untuk generasi akan datang, insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman blog NajibRazak.com malam ini.

Perdana Menteri mengulas kunjungan Mufti Zimbabwe, Ismail Musa Menk yang juga dikenali sebagai Mufti Menk ke pejabat beliau di Putrajaya hari ini.

Najib memberitahu, dalam pertemuan itu, beliau dan Mufti Menk membincangkan pelbagai perkara berkaitan Islam, ektremisme serta situasi umat Islam di seluruh dunia pada masa ini.

Beliau berkata, Mufti Menk turut menyuarakan kekagumannya apabila melihat rakyat Malaysia yang berbilang agama dapat hidup bersama dalam suasana harmoni.