Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal itu boleh dilakukan di Pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor.

“Tujuan semakan awal ini untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan sekali gus menjamin proses pada hari penamaan calon berjalan lancar.

“Inisiatif ini juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan menegaskan, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor itu perlu dikemukakan semasa hari penamaan calon.

Katanya, kertas penamaan calon itu mesti dikemukakan bakal calon atau penyokong mahupun pencadangnya di pusat penamaan calon pada tarikh yang telah ditetapkan SPR iaitu 16 Februari ini. -UTUSAN ONLINE