Anthony Loke

"Memalukan sesiapa itu bukanlah cara saya... jadi saya minta Isa letak jawatan," kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada kepada pemberita selepas mesyuarat pascakabinet kementeriannya, di sini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kabinet hari ini mengumumkan pembubaran SPAD dan peranannya akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.


Mengulas pembubaran itu, Loke berkata ia satu keputusan yang logik dan sepatutnya dibuat dari dulu.

"Memandangkan SPAD tertakluk di bawah Akta SPAD maka undang-undang tersebut perlu dimansuhkan di Parlimen. Sementara undang-undang belum dimansuhkan SPAD di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan," katanya.


Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan SPAD esok bagi meneliti cara suruhanjaya itu boleh diintegrasikan ke dalam kementeriannya termasuk dari segi petugas dan penstrukturan.

Sementara itu, Loke turut meminta pengerusi dan semua lantikan politik dalam pihak berkuasa pelabuhan iaitu Lembaga Pelabuhan Klang, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Lembaga Pelabuhan Johor meletak jawatan.

"Mereka tahu siapa mereka. Tidak perlu saya namakan seorang demi seorang. Bukan cara saya untuk memalukan orang," katanya. - BERNAMA