Beliau berkata, se­-
belum ini beliau di­panggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) hanya untuk memberi keterangan sahaja ber­hubung isu tersebut.

Menurutnya, siasatan SPRM adalah wajar dan dianggap tidak pelik kerana apabila adanya laporan berhubung sesuatu perkara, tindakan sepatutnya diambil oleh mereka berkaitan.

“Saya tiada kes, saya hanya dipanggil untuk beri keterangan dan itu adalah biasa.

“Lima pegawai kanan yang akan dipanggil SPRM seperti dilaporkan akhbar hari ini juga saya tidak tahu. Saya hanya tahu daripada akhbar sahaja,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri; Ke­tua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ke­tua Eksekutif Pe­ngarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Mohd. Isa yang kini memang­ku jawatan sebagai Pengerusi SPAD berkata, beliau akan menzahirkan kerjasama penuh sekiranya sekali lagi dipanggil untuk SPRM untuk mengambil kete­rangan.

“Itu memang hak SPRM untuk memanggil sesiapa pun untuk mengambil keterangan dan ia merupakan satu proses biasa dan kita jangan ganggu pihak SPRM menjalankan tanggungjawab mereka.

“Dalam SPRM ini sesiapa dipanggil untuk diberikan kete­rangan, kita kena pergilah dan pada saya bukanlah suatu perkara luar biasa,” katanya.

SPRM hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya lima individu dipanggil ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada 2013 dan 2015.

Difahamkan, semua individu terbabit merupakan pegawai kanan FIC dan menjadi saksi pen­­ting dalam siasatan tersebut.