Penyataan pembelaan itu ada­lah berkaitan saman organisasi terbabit yang menuntut ganti rugi sebanyak RM7.69 juta daripada Mohd. Isa dan Mohd. Emir berhubung pembelian kondominium mewah terletak di Troika, Persiaran KLCC, di sini dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd. Isa kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli. Kes itu juga ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Januari ini.

FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 November lalu menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defen­dan itu adalah berhubung pembelian kondominium me­wah yang terletak di Troika, Persiaran KLCC, di sini dan berkaitan pe­nyalahgunaan kenderaan syarikat serta faedah petrol oleh Mohd. Emir.

Sehubungan itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan ber­hubung pembelian kondo berkenaan serta RM3.15 juta daripada Mohd. Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.

Di samping itu, syarikat itu selaku plaintif turut menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad.