Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengurangan bajet sebanyak RM2.41 bilion tidak boleh dijadikan alasan untuk IPTA menaikkan yuran pengajian.

“Pihak universiti juga tidak seharusnya terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan untuk menguruskan hal ehwal pendidikan di IPTA masing-masing.

“Setakat ini, kerajaan menampung 80 hingga 90 peratus peruntukan kepada semua IPTA di seluruh negara dan kebergantungan itu perlu dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Antarabangsa (IETF), di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 Jumaat lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM13.38 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berbanding RM15.79 bilion pada Bajet 2015.

Mengenai IETF yang berperanan menasihati kementerian dalam hal ehwal berkaitan penambahbaikan pengurusan pelajar antarabangsa, Idris berkata, kepakaran dan pengalaman dalam kalangan ahli dapat digembleng bagi meningkatkan keupayaan dan pengiktirafan pendidikan tinggi negara.

“IETF turut membincangkan inisiatif dan strategi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang paling menonjol, selaras dengan hasrat yang termaktub di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025.

“Bermula Januari depan, IETF akan membenarkan pelajar asing yang ingin melanjutkan pengajian di negara ini untuk memohon visa pelajar secara individu tanpa perlu pengurusan pihak universiti atau kolej dan visa akan dikeluarkan mengikut tempoh belajar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan jawatankuasa tersebut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wakil IPTA dan swasta.

Jelasnya, antara isu yang dapat diselesaikan menerus jawatankuasa terbabit termasuk pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) visa pelajar Malaysia dengan Indonesia, meluluskan pas tanggungan kepada pelajar yang mempunyai lebih daripada seorang isteri dan meluluskan penggunaan pas lawatan sosial bagi program tertentu yang dilaksanakan tidak lebih dari tiga bulan.