Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kira-kira 600 pensyarah akan dilatih pada tahun ini bagi persiapan mereka untuk menghadapi dan melengkapkan diri dengan pendidikan teras IR 4.0.

“Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus meningkatkan kursus-kursus berkaitan IR 4.0. Malah pada minggu lalu, saya melancarkan kerangka pendidikan Revolusi Perindustrian Keempat ini.

“Kita bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut (IR 4.0) dalam memastikan pelajar kita selaras dengan kehendak pasaran pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Jerlun di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mani­festo Barisan Nasional (BN) yang menjanjikan masa depan sektor pendidikan negara yang inklusif bagi menghadapi IR 4.0 dengan memahirkan lima juta pelajar sekolah berkemahiran digital.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Ismail Abd. Aziz.

Terdahulu, berlangsung majlis menandatangani nota kerjasama strategik antara Kolej Komuniti Bandar Darulaman dan Mara Liner Sdn. Bhd. bagi menjayakan program Diploma Teknologi Automotif (Kenderaan Perdagangan).

Dalam pada itu menurut Idris, mana-mana kursus yang ti­dak relevan akan digugurkan dan diganti dengan kursus yang berkaitan dengan IR 4.0.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, tahap ke­bo­lehpasaran pelajar lepasan ko­lej komuniti menunjukkan pe­ningkatan memberangsangkan dan kini mencapai 96.7 peratus.

“Kebanyakan jurusan yang diajar mendapat permintaan pasaran kerja kerana apa yang diajar di kolej komuniti ini bukan rumit sangat tapi memenuhi keperluan mereka dalam sesuatu industri misalnya, (jurusan) automotif.

“Kita mempunyai pelbagai kursus seperti automotif, pastri, makanan, fesyen, seni bina malah ada yang melaksanakan virtual reality yang mana menjangkau IR 4.0,” ujarnya.