Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, negara berdepan de­ngan masalah pengkaji mencipta inovasi tetapi ciptaan mereka tidak digunakan meskipun mendapat geran daripada kerajaan berjumlah antara RM300,000 hingga RM500,000 menerusi MOSTI Social Innovation (MSI).

“Kementerian menyediakan geran untuk pengkaji mencipta inovasi tetapi kalau mereka sen­diri tidak memanfaatkan hasil kajian itu, sebaliknya hanya asyik membuat kajian, siapa yang hendak gunakannya?

“Saya mahu sekurang-ku­rang­nya universiti yang membuat kajian itu manfaatkannya di tempat mereka dahulu, contohnya kalau ada inovasi sistem pembelajaran baharu, mereka gunakan dahulu barulah pihak lain yakin untuk menggunakannya selepas itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Universiti Teknikal Malaysia (MUCET) 2017 yang berlangsung dua hari hingga esok de­ngan hampir 300 kertas kerja bertemakan ‘Menerajui Inovasi dalam Kejuteraan, Sains dan Teknologi’ dibentangkan.

Persidangan kali ketujuh yang mengetengahkan enam bidang sains teknikal dan sosial itu turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Zul Zahid Jamal selaku tuan rumah.

Menurut Abu Bakar, kerajaan sentiasa komited membangunkan bidang inovasi di negara ini dengan membelanjakan kira-kira RM35 juta setahun bagi pelaksanaan MSI yang menyaksikan 32 agensi di bawah kementeriannya bekerjasama dengan ratusan pengkaji di pelbagai peringkat.

Menurutnya, kementerian mem­belanjakan lebih RM2.86 bilion untuk melaksanakan program itu menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) manakala RMK-10 menyaksikan lebih RM1.2 bilion dibelanjakan dan RMK-11 iaitu sehingga Oktober lalu sebanyak RM110.11 juta.

“Kita berbangga apabila ba­nyak kertas kerja diterbitkan di peringkat antarabangsa terma­suk 408 buah kajian pada 2013 serta 881 kajian pada 2014 dan angka tersebut meingkat pada 2015 iaitu sebanyak 1,298 penerbitan dari negara ini mendapat tempat.

“Bagi mana-mana kajian yang ingin dikomersialkan di peringkat lebih tinggi, kerajaan turut menyediakan dana pintar (Smart Fund) untuk prapengkomersialan hasil kajian itu dengan memperuntukkan dana maksimum RM3 juta,” jelasnya.