Lau Seng Yee
LAU SENG YEE

Naib Presiden Ka­nan Tencent Hol­dings, Lau Seng Yee berkata, bagi menuju ke arah itu, institusi-institusi akademik perlu menghasilkan penemuan-penemuan baharu melalui penyelidikan melalui kerjasama dengan pihak industri.

“Terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan pihak universiti seperti menggabungkan penyelidikan dan teknologi dalam melahirkan sumber bakat.

“Contohnya, Tencent baru-baru ini mengambil bahagian dalam program Guangdong-Hong Kong-Macau Greater Bay Area di mana universiti-universiti di Pearl River Delta bekerjasama membina hab teknologi berikutnya di China,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Pendidikan Tinggi Malaysia (MyHEF) 2017 di sini semalam.

Dilahirkan di Malaysia sebelum ber­hij­rah ke China untuk menyertai syarikat internet terbesar di negara itu, Seng Yee merupakan graduan dalam bidang komunikasi massa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketika mengulas lanjut, Seng Yee berkata, langkah tersebut boleh dimulakan oleh universiti awam dengan melibatkan lebih banyak sumber dalam industri bagi memastikan kebolehpa­saran graduan meningkat dan menjadikannya sebagai indeks prestasi utama.

“Universiti juga perlu memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ahli akademik mereka pernah terlibat dalam industri.

“Langkah ini akan memboleh­kan Malaysia menghasilkan bakat yang relevan dengan keperluan industri, seperti yang diamalkan oleh salah satu institusi penyelidikan awam terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Universiti Rutgers.

“Selain itu, membina budaya keusahawanan dan inkubator di kampus juga penting dalam membantu graduan Malaysia bersaing dengan dunia luar,” katanya.