Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kuantan 2 di sini, Saifullazman Shafei berkata, menerusi program itu terutama penggunaan Tutor Guru dapat membantu guru membuat persediaan mengajar yang mantap.

“Guru sangat teruja menggunakan aplikasi berkenaan bagi menghasilkan lembaran kerja digital untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas,” katanya selepas tamat program itu di sini hari ini.

SK Jalan Kuantan 2 merupakan sekolah ketujuh yang melaksanakan program intervensi di bawah kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain; Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim serta Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Dalam program ini, guru dibimbing membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang me­ngandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan berserta huraian.

Pada masa sama, SK Jalan Kuantan 2 turut ditauliahkan sebagai Sekolah Mentor yang boleh dijadikan rujukan sekolah lain berkaitan penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Dengan menggunakan Tutor Guru, 120,000 pendidik di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor yang telah menerima tablet berkenaan, boleh membuat persediaan mengajar pada bila-bila masa mengikut kelapangan masing-masing, selagi ada capaian Internet.