AMIRUDDIN HAMZAH
AMIRUDDIN

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, skim dan polisi institusi kewangan berkaitan pelan persaraan serta simpanan rakyat juga akan dilihat semula apabila Malaysia mencapai status negara tua menjelang 2030.

"Kajian daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan terlalu ramai rakyat yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi sekiranya berlaku kemalangan selain pesara pula menggunakan kesemua wang persaraan daripada institusi kewangan hanya dalam tempoh lima tahun.

"Malaysia bergerak lebih pantas ke arah status negara tua berbanding Eropah dan Amerika Syarikat, maka kita perlu ada tindakan untuk memastikan apa juga fenomena dapat dikurangkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Perhubungan Kerajaan Sektor Awam, Affin Hwang Asset Management Bhd., di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Affin Bank Bhd., Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin.

Mengulas lanjut Amiruddin berkata, kerajaan akan melakukan intervensi dari semasa ke semasa khusus untuk golongan pesara bagi memastikan mereka tidak terjejas daripada menikmati kemudahan dan faedah sedia ada.

Namun katanya, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kumpulan pesara atau bakal pesara.

"Kerajaan telah menyediakan beberapa program seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), subsidi bekalan elektrik sebanyak RM40 serta subsidi penggunaan air di beberapa negeri bagi melegakan tekanan perbelanjaan golongan pesara.

"Selain itu kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Perlindungan Nasional B40 (MySalam) dan Skim Perlindungan Kesihatan (PeKa) bagi kumpulan berpendapatan B40 dalam usaha memastikan rakyat dan golongan pesara yang tergolong di bawah skim tersebut terbela serta berada dalam keadaan selesa tanpa perlu bergantung kepada anak-anak," jelasnya. - UTUSAN ONLINE