Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, kementerian tersebut kini dalam fasa akhir menyiapkan modul dan kaedah insuran berkenaan sebelum diserahkan kepada kabinet awal tahun hadapan untuk diputuskan.

Beliau berkata, kaedah terbaik sedang dikaji agar pelaksanaan insuran itu tidak akan membebankan kerajaan mahupun petani.

"Kalau mengharapkan kerajaan sepenuhnya adalah tidak adil, sesetengah negara (bayaran) sumbangan insuran dibuat petani seratus peratus manakala setengah negara lain pula secara 'hibrid' iaitu sebahagian daripada kerajaan dan selebihnya petani.

"Kerajaan akan tetap memberikan bantuan wang ihsan untuk petani yang hasil tanaman rosak memulakan tanaman baharu tetapi tidaklah seratus peratus," katanya selepas Seminar Peluang Kerjaya Kepada Agropreneur Muda Jajahan Tumpat di Pejabat KADA Tumpat di Tumpat, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Ridzuan Ismail.

Mohd. Sallehhuddin berkata, pelaksanaan insuran itu dengan bayaran premium yang sesuai akan dimulakan dengan petani yang mengusahakan tanaman padi sebelum dikembangkan kepada hasil yang lain.

"Berbeza dengan petani, golongan nelayan sudah ada (perlindungan) insuran kemalangan diri dan kematian melalui sumbangan daripada elaun sara hidup yang mana mereka berpeluang mendapat sehingga RM150,000 jika berlaku kematian," katanya. - UTUSAN ONLINE