Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, skim berkenaan diwujudkan de­ngan mencontohi Filipina yang mewujudkan program seumpa­ma itu.

“Kita sedang memperhalusi cadangan ini dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Parlimen dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

“Kita juga akan memilih kawasan-kawasan tertentu untuk dijadikan perintis dalam melaksanakan skim berkenaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Malam Anugerah Tani Padiberas Nasional Berhad (Bernas) 2017 di sini malam tadi.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi meraikan pesawah, pengilang dan pemborong cemerlang yang setia sebagai rakan tani Bernas.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Sha­bery memberitahu, peruntukan permulaan akan disuntik oleh Bernas sendiri sebanyak RM10 juta manakala kementerian men­cari dana lain untuk pembiayaan skim tersebut.

Menurutnya, skim tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pesawah di seluruh negara.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, sebanyak 15 anugerah kecemerlangan diberikan kepada tujuh pesawah, empat syarikat pengilang bumiputera dan empat syarikat pemborong.

Pesawah dari Kedah, Datuk Azmi Jaafar, 66, diumumkan sebagai Pesawah Setia dan membawa pulang RM20,000, sebuah motosikal jenis Modenas dan trofi penghargaan.