Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut usaha bersepadu perlu dilakukan antara Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa agama negeri serta persatuan tahfiz.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz bilangan dua yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk pembaikan institusi tahfiz di seluruh negara untuk tahun ini selepas diluluskan oleh Perdana Menteri pada 4 Oktober lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, ia adalah tambahan kepada peruntukan RM30 juta yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017 yang lalu.

Beliau berkata, peruntukan yang diberikan secara one-off itu disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk penyela­rasan agihan kepada agensi yang terlibat bagi penambahbaikan dan menaik taraf aspek keselamatan institusi tahfiz.

“Salah satu aspek penambahbaikan yang perlu diberi perhatian serius ialah memastikan penambaikan yang dibuat menepati spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, semasa pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada GiatMara untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua institusi tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Di samping itu, bagi tujuan melatih pelajar tahfiz supaya le­bih berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diper­kenalkan.

Mesyuarat kali kedua itu diadakan bertujuan untuk mene­liti tindakan susulan yang telah diambil oleh agensi berkaitan terhadap keputusan yang telah dipersetujui semasa mesyuarat kali pertama pada September yang lalu.

Hadir sama, Menteri di Ja­batan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.