Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sejarah telah membuktikan bagaimana institusi berkenaan pernah menyelamatkan negara beberapa kali susulan daripada kegagalan kuasa politik berfungsi dengan baik khususnya berkaitan pergolakan antara kaum.

“Saya ambil contoh tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei. Pada ketika itu Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan kuasa mutlaknya sebagai seorang pemerintah untuk mengisytiharkan darurat sekali gus menamatkan persengketaan yang berlaku.

“Cuba bayangkan jika negara kita tidak memiliki institusi diraja sudah pasti keadaan menjadi huru-hara. Lihat sahaja apa yang berlaku di kebanyakan negara Asia Barat yang terus bergolak walau pelbagai usaha perdamaian dijalankan. Ini semua berlaku kerana tiadanya institusi diraja yang memiliki kuasa lebih besar daripada kuasa politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Diraja Raja dan Rakyat Berpisah Tiada sempena memuliakan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-85 di sini hari ini.

Yang turut hadir Penaung Diraja Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, Tengku Dato Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman.

Pameran Diraja Raja dan Rakyat Berpisah Tiada yang dijalankan di Istana Budaya mempamerkan 85 potret terpilih daripada koleksi peribadi Sultan Ahmad Shah.

Pameran yang dijalankan secara percuma itu akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Mengulas mengenai pameran berkenaan, Adnan berkata, orang ramai khususnya anak Pahang wajar menyaksikan pameran tersebut bagi mengenali Sultan Ahmad Shah dengan lebih dekat melalui paparan potret.

“Potret yang dipamerkan amat unik kerana dirakamkan sejak tuanku diputerakan sehingga ke hari ini. Kita dapat lihat dengan jelas tuanku memiliki hati yang mulia dan mementingkan kebajikan rakyat.

“Pameran seperti ini jarang-jarang diadakan khususnya di Kuala Lumpur, gunakan kesempatan yang ada dengan membawa keluarga menyaksikannya,” katanya.