Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan Institusi Diraja itu sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku di Perlis itu berbeza dengan Sabah, beliau memberitahu, tindakan membantah keputusan Raja Perlis itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya ingatkan penting bagi Institusi Diraja ini dapat dihormati. Sepatutnya beliau (Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim) mendapat nasihat dan menghadap Raja Perlis bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

“Raja Perlis sudah tentunya mempunyai alasan memilih Menteri Besar supaya perjalanan pentadbiran itu diselaras dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas Program BizTalk Ramadan dan Iftar anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan BN Perlis memecat Azlan sejurus selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu dilantik sebagai Menteri Besar.

Terdahulu, sembilan ADUN BN tidak menghadirkan diri ke majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar di Istana Arau, Perlis semalam sehingga mengundang kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin.

Tindakan boikot tersebut berlaku dipercayai kerana Tuanku Syed Sirajuddin tidak melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim ekoran bimbang Menteri Besar yang dicadangkan akan menjadi boneka dan dikawal oleh kuasa luar. - UTUSAN ONLINE