Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Bayaran Intensif Tugas Stesen Luar Pantai (BITSLP) itu memberi manfaat kepada 1,200 anggota ATM yang bertugas bagi menjaga kebajikan mereka.

Beliau berkata, sebelum ini, BITSLP hanya dibayar kepada anggota bertugas di kawasan yang kekurangan kemudahan asas iaitu stesen luar pantai di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan, Op Pasir di pantai timur Sabah serta Op Pejarak di Pulau Perak dan Pulau Jarak, Selat Me­laka.

“Pelaksanaan ini susulan permohonan yang dibuat Kementerian Pertahanan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mempertimbangkan agar anggota yang ditugaskan di 22 pos baharu itu turut mendapat insentif ber­kenaan.

“Pembayaran intensif ini me­rupakan sebahagian daripada usaha baharu kerajaan untuk membantu membela nasib serta memelihara kebajikan anggota ATM,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Libaran, di sini hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, rundingan kerjasama kawalan udara tiga negara TAP antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat bulan depan.

Katanya, Jawatankuasa Bersama tiga negara telah membincangkan TAP yang melibatkan penggiliran secara bulanan untuk setiap negara membuat rondaan menggunakan pesawat dalam kalangan negara terlibat.

Menurutnya, Malaysia bagai­ma­napun masih berharap agar kerjasama TAP serta kawalan maritim tiga negara TMP dapat diperluaskan kepada penglibatan 10 negara ASEAN demi kepentingan keselamatan rantau ini.

“Ini adalah usaha kita de­ngan harapan selepas ini jika ada usa­ha Deash untuk berkembang di rantau ASEAN, mereka perlu berdepan dengan tentangan 10 negara terbabit,” katanya.