Rata-rata ibu bapa yang ditemui menyambut baik usaha kerajaan yang memperkenalkan ADAM50 bagi menggalakkan budaya menabung demi menjamin masa depan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang lebih cerah.

Seorang suri rumah, Nur Farhana Rosdi, 28, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila bayi perempuan yang dilahirkannya pada pukul 3 pagi ini menjadi antara bayi terawal yang menikmati manfaat ADAM50.

Nur Farhana dari Kampung Merbau di sini, berkata, pemberian insentif khas ini pastinya memberi banyak manfaat kepada anak ketiganya pada masa hadapan.

“Pada awalnya, saya dijangka bersalin pada 20 Januari depan, namun saya tidak menyangka bersalin pada 1 Januari.

“Saya bukan sahaja gembira dengan kelahiran anak pe­rempuan yang pertama, ma­lah ditambah dengan pemberian ADAM50 daripada kerajaan. Terima kasih saya ucapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wad Bersalin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 10 bayi yang dilahirkan di antara pukul 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi di hospital tersebut telah menerima sijil ADAM50.

Penyampaian sijil ADAM50 itu telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Pelaburan Strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datin Kartini Manaf.

Yang turut hadir, Pengarah HRPZ, Datin Dr. Selasawati Ghazali.

Menerusi pembentangan Bajet 2018, kerajaan telah mengumumkan setiap anak Malaysia yang lahir antara 1 Januari tahun ini sehingga tahun 2022, akan dihadiahkan dana tabung­an permulaan sebanyak RM200.

Dalam pembentangan itu, Najib berkata, skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan disalurkan menerusi unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB).