Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama peserta Perlis Engineering Research Learning & Innovation Symposium.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inovasi bukan sahaja berperanan untuk menyelesaikan masalah sebaliknya turut merungkai kebuntuan akibat peraturan lama yang membelenggu fikiran dan perkhidmatan.

“Inovasi pada hari ini telah menjadi penanda aras baru global dan sudah pasti menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Majlis Penutupan Perlis Engineering Research Learning & Innovation Symposium (Perlis) 4.0 2018

di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra di sini semalam.

Berangkat sama pada program tersebut, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor Unimap dan anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Program tahunan itu dianjurkan oleh

Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan Dan Komuniti (IKRK) Unimap, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Malaysian Research & Innovation Society (MyRIS) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Pada majlis berkenaan, baginda berdua turut berkenan menganugerahkan sijil, hadiah kepada para pemenang dan juga cenderahati kepada semua peserta.

Pada program yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu menyaksikan sebanyak 44 produk inovasi dihasilkan oleh para peserta daripada 13 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini.- UTUSAN ONLINE