Yang Dipertua MPSepang, Datuk Puasa Md. Taib berkata, pi­ngat emas itu dimenangi pihak-nya melalui inovasi semburan pembasmi nyamuk aedes ‘Aedes Bio Based Fuel’ (ABBF) dengan menggunakan minyak masak terpakai.

Beliau berkata, ABBF yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhuta­nan Malaysia (FRIM) sejak 2015 itu sebelum ini mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada Januari lalu.

“Antara kelebihan ABBF ialah mempunyai kesan membunuh nyamuk sama seperti semburan diesel, mengurangkan kesan toksik, tidak memedihkan mata atau mengeluarkan bau serta asap yang tidak selesa.

“Inovasi ABBF juga mengurangkan risiko kesihatan kepada pekerja yang melakukan akti­viti semburan dan mereka yang terdedah kepada asap semburan selain mesra alam sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurut Puasa, selepas mendapat pengiktirafan antarabangsa, pihaknya merancang untuk membentangkan inovasi baharu itu kepada kerajaan negeri Se­langor agar semua PBT di negeri ini menggunakan ABBF di semua lokaliti aedes.

Selain itu katanya, pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Geneva 2017 yang berlangsung pada 29 Mac hingga 2 April lalu itu, MPSepang turut memena­ngi pingat perak melalui inovasi Flexi Parking yang diperkenalkan pihaknya tahun lalu.

Terdahulu, Puasa hadir melepaskan ikan bersempena Per­tandingan Memancing 2017 anjuran MPSepang di Taman Tasik Cyberjaya yang bakal diadakan pada 13 Mei ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM40,000.

Pada majlis itu sebanyak 500 kilogram ikan pelbagai spesies dilepaskan ke tasik tersebut dan kira-kira 3,000 peserta dijangkan memeriahkan pertan­dingan yang bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu.

Katanya, johan pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, tempat kedua RM7,000 dan ketiga RM3,000.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi urus setia di talian 03-83190200/0300, 016-6685564 (Az­ly); 0172125325 (Helmi) dan 0173666660 (Moktar).