Ketua Pegawai Operasi Mel, Helmi Hashim berkata, Generasi Y diyakini mencari sesuatu yang berbeza daripada penggunaan mesej pesanan ringkas atau media sosial sebagai medium ucapan hari raya.

“Melalui evolusi terkini gabungan kad raya dan teknologi (3D Hologram) menjadikan proses bertukar ucapan raya lebih menarik.

“Kami ingin menyemarakkan lagi ikatan silaturahim sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dan berharap gabungan teknologi dan tradisi menghantar kad ucapan raya akan menjadikan perayaan lebih meriah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, setiap pek kad ucapan 3D Raya Hologram yang dijual mengandungi satu kad ucapan hari raya, satu sampul dengan setem 50 sen, satu projektor plastik hologram dan satu poskad filem Pulang edisi terhad.

Pelanggan perlu memuat turun aplikasi Hologram Raya melalui aplikasi Google Play atau Apss Store telefon pintar dan melekatkan projektor plastik hologram pada skrin telefon untuk alami keseronokannya.

Orang ramai boleh membeli pek Kad Ucapan Raya 3D Hologram yang dijual dengan harga RM12 di 400 pejabat pos terpilih seluruh Malaysia atau secara dalam talian di www.eziemell.com. - UTUSAN ONLINE