Ini kerana, menurut Presiden Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, adalah tidak munasabah untuk kerajaan membekukan pemberian biasiswa tetapi dalam masa sama memberi bantuan kepada universiti swasta.

“Kenapa faktor ketidakstabilan ekonomi dan kewangan negara dijadikan hujah (Timbalan Menteri Pendidikan) Teo Nie Ching untuk menghentikan MyBrain demi kelangsungan dan pembelajaran dan penyelidikan di universiti awam tetapi peruntukan yang tidak dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 boleh diberikan kepada kolej swasta?

“Kembalikan MyBrain, atau jenamakan semula jika itulah yang kerajaan perlu agar anak-anak bangsa kita dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat tertiari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kontroversi peruntukan khas Kementerian Kewangan kepada Kolej Universiti New Era yang mendapat kecaman banyak pihak semalam.

Rafidah Hanim yang juga bekas Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengakui sering berhadapan dengan pelajar kurang berkemampuan dan bergantung de­ngan biasiswa MyBrain.

Tambahnya, pernah terdapat kes pelajar terpaksa meminjam wang daripada saudara mara bagi membayar yuran pengajian.

“Kadang-kadang biasiswa MyBrain lambat masuk, pusat siswazah kata pelajar tak boleh daftar. Saya selalu merayu kepada pusat siswazah, tunggu sekejap, jangan tutup lagi pendaftaran. Inikan pula apabila MyBrain sudah dihentikan,” katanya.