Projek usahasama kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) merupakan terjemahan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu pemberita di sini hari ini, sebagai permulaan, sebanyak 50 unit akan dibangunkan segera di atas tapak milik kerajaan, seluas 2.4 hektar.

Menurut beliau, bagi membolehkan lebih ramai anak negeri berpeluang memiliki kediaman seumpama itu, kerajaan negeri akan terus berkerjasama dengan pihak kementerian agar dapat diperluaskan ke seluruh negeri.

“MyBNHome disasarkan kepada mereka yang tidak memiliki rumah, dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM3,900 ke bawah (B40).

“Keluasan rumah 750 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air. Kos pembinaan dianggarkan RM40,000 seunit, dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM20,000.

“Penerima hanya perlu membuat pinjaman sebanyak RM20,000 melalui skim yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan ansuran bulanan RM200 hingga RM250 sepanjang tempoh 30 tahun,”ujarnya.

Beliau menjelaskan, selepas bayaran pinjaman dilunaskan, rumah tersebut akan menjadi hak milik kekal pembeli berkenaan, namun sepanjang tempoh pinjaman, sekatan moratorium 10 tahun akan dikenakan. - UTUSAN ONLINE