Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, reaksi positif AS itu disampaikan oleh Setiausaha Pertahanannya, Ashton Carter dalam Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-AS di Hawaii hari ini.

“Carter kagum dengan kerjasama serantau yang ditunjukkan oleh Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi menangani segala ancaman dalam kawasan perairan bersama itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau turut menyatakan pendirian Malaysia yang meminta semua pihak mengelakkan daripada terlibat dalam sebarang insiden di kawasan perairan atau udara Laut China Selatan.

Hishammuddin memberitahu, kawasan perairan tersebut merupakan laluan perdagangan yang penting bagi sebahagian besar anggota-anggota ASEAN dan negara-negara lain di dunia.

“Laluan itu perlu kekal bebas, terbuka dan selamat untuk kegiatan perdagangan manakala peningkatan kegiatan ketenteraan di Laut China Selatan mesti dielakkan,” jelasnya.

Beliau turut mengulangi pendirian Malaysia bahawa Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan Laut China Selatan (DOC) mesti dipatuhi semua pihak dan Kod Tatalaku (COC) di perairan tersebut perlu dilaksanakan segera.

Hishammuddin menambah, sebarang tindakan hendaklah mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Sementara itu, beliau berkata, kebimbangan AS tentang ancaman kumpulan pengganas Daesh seperti yang disuarakan oleh Carter merupakan satu perkembangan positif dalam hubungan antara ASEAN dan negara kuasa besar tersebut.

“Carter membangkitkan tentang kawasan-kawasan tertentu di rantau ini yang berpotensi menjadi lokasi tumpuan anggota-anggota kumpulan militan setelah mereka tewas dalam pertempuran di Iraq dan Syria.

“Kepulangan mereka boleh mencetuskan ketidakstabilan dan prasangka di dalam negara-negara terbabit serta negara-negara berjiran,” katanya.

Menurut Hishammuddin, beliau juga menggesa supaya kerjasama serantau dalam kegiatan bantuan kemanusiaan dan bencana alam (HADR) dipertingkatkan serta tumpuan perlu diberi terhadap integrasi antara pelbagai negara dan agensi dalam kerangka Kumpulan Kesiapsiagaan Ketenteraan ASEAN (AMRG).

Beliau turut menghadiri Mesyuarat Tiga Penjuru Peringkat Menteri Kali Ketiga mengenai Laut Sulu bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Mejar Jeneral (B) Delfin Lorenzana.