Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, buktinya apabila Tentera Udara Diraja Thailand, Filipina dan Australia turut mendapatkan perkhidmatan latihan aerofisiologi di IPP.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan operasi yang disediakan di IPP, lebih-lebih lagi apabila kepakaran tempatan turut diiktiraf oleh negara-negara luar.

“Lebih bermakna apabila IPP turut bertanggungjawab menye­lia dan menjalankan koordinasi Program Angkasawan Negara melalui latihan High G yang menggunakan High Performance Human Centrifuge (HPHC) dalam proses pemilihan angkasawan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di IPP, Pangkalan Udara Subang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ke­tua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengarah IPP, Jeneral Datuk Dr. Zahari Jusoh.

Sementara itu, Hishammuddin turut membuat pemeriksaan terhadap Helikopter Nuri, Pesawat Pe­ngangkut C130H dan Pesawat Pejuang Hawk 208 yang akan melalui proses naik taraf secara berperingkat.

Menurut beliau, proses naik taraf itu bagi membolehkan ketiga-tiga aset TUDM itu berupaya memenuhi keperluan operasi sekali gus memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam menjaga ke­selamatan ruang udara tanah air.

“Maklumat terperinci mengenai proses naik taraf ini akan diadakan dalam tempoh terdekat dan saya akan maklumkan apabila ia bermula kelak,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin men­dengar taklimat daripada Zahari mengenai infrastruktur dan modul latihan yang terdapat di IPP antaranya HPHC, Hypoxia Indoctrination yang menggunakan kebuk Hipobarik, latihan Kerusi Anjal dan latihan disorientasi di ruang angkasa.

Jelas Zahari, IPP turut bertanggungjawab mengelola Pusat Penyelidik dan Latihan Simulator G (PULLS-G) melibatkan dua sistem iaitu Sistem Advance Tactical Flight Simulator 400 dan General Aviation Trainer (GAT II).

“Kami turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan mental dan fizikal serta pelesenan kepada anak-anak kapal TUDM serta pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

 

Antara pasukan penguat kuasa tempatan yang menggunakan khidmat IPP TUDM:

1. Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)

2. Unit Udara KD Rajawali Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

3. Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

4. Jabatan Penerbangan Awam (DCA)

5. Unit Udara Bomba dan Penyelamat (UUBP)

6. Unit Udara Polis Diraja Malaysia