Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, infografik tersebut boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengelak kejadian penderaan kanak-kanak dan bayi daripada berulang.

"Kita mahu ibu bapa buat sedikit siasatan terhadap orang yang mereka berikan kepercayaan menjaga anak mereka dan pantau tanda-tanda yang disenaraikan dalam infografik tersebut.

"Mereka juga boleh jadikan infografik tersebut sebagai garis panduan sekiranya ada kejadian disyaki penderaan melibatkan ibu bapa kanak-kanak itu sendiri," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak Bukit Aman, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Sementara itu, Noor Rashid ketika ditemui berkata, polis akan membantu ibu bapa sekiranya mereka mahu menyemak latar belakang individu yang diamanahkan untuk mengasuh anak mereka.

"Kita juga akan kerahkan pasukan Aman Wanita (Amanita) untuk pantau semua pusat asuhan yang halal mahupun haram.

"Kita tahu kewujudan pengasuh yang tidak berdaftar ini, cuma sekarang sedang mencari apa langkah seterusnya bersama dengan kementerian berkenaan," jelasnya. - UTUSAN ONLINE