Pengurus Maktab 82 1438 Hijrah di Hotel Land Premium, Ashrof Shamsuddin berkata, dengan membekalkan semua maklumat dalam satu risalah, kita dapati itu amat membantu, terutama dalam tunjuk arah pergi dan balik ke maktab ini.

“Dalam info kit itu, dinyatakan panduan perjalanan pulang ke Masjidilharam bermula dari pintu King Fahd sehinggalah ke maktab ini, selain peta laluan.

“Turut ada dalamnya ialah panduan perkhidmatan di maktab seperti kaun­ter kewangan, perubatan dan kesihatan, bimbingan ibadah haji dan hal pentadbiran,” katanya kepada wartawan Malaysia di hotel Land Premium, di sini hari ini.

Hotel ini menempatkan tiga maktab iaitu maktab 82, 84 dan sebahagian 85.
Katanya, beberapa peringatan penting juga dinyatakan dalam info kit tersebut, antaranya tidak merokok di bilik penginapan, menjaga kebersihan bilik penginapan saling mengambil perhatian kebajikan rakan sebilik.

“Kita sediakan nombor telefon pe­ngurusan maktab bagi memudahkan jemaah berhubung jika ada masalah. Info kit ini hendaklah sentiasa ada dalam beg sandang jemaah haji,” jelas­nya sambil memaklumkan hotel yang menempatkan tiga maktab itu telah menerima hampir 2,000 jemaah, di mana jumlah keseluruhannya nanti adalah 4,800 jemaah haji.

Setakat ini, info kit yang diletakkan di atas katil jemaah semasa mereka mula mendaftar masuk tempoh hari, didapati banyak membantu menyelesaikan permasalahan.

“Jemaah haji juga disertakan dengan kad muasasah. Kad ini akan dipakai bersama lencana pengenalan diri.

Sekiranya jemaah tersasar jauh, mereka boleh menunjukkan kad itu kepada pihak berkuasa Arab Saudi dan mereka akan membantu jalan balik ke maktab. Kad itu ditulis dalam bahasa Arab,” ujarnya.

Dengan usaha yang dilakukan itu, kata Ashrof, pihak pengendali jemaah haji di Arab Saudi, Muasasah Asia Tenggara mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji kerana membantu memudahkan pergerakan jemaah dan menye­nangkan mereka beribadah di Masjidilharam ini.

Sementara itu Pengurus Maktab 80 Hotel Zwar Al Bit, Ahmad Hapizudin Abas memberitahu, pada waktu ini seramai 1,510 jemaah yang datang dari Madinah dan terus dari Kuala Lumpur melalui Jeddah.

“Dengan maktab yang baru dan pa­ling hampir dengan Masjidilharam sekitar 600 meter, beberapa perkhidmatan disediakan antaranya penghantaran bagasi, perkhidmatan i-Talk dan lain-lain,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan info kit kepada jemaah haji, dan menasihatkan jemaah sentiasalah ber­ada di Masjidilharam memandangkan jarak yang dekat itu, apatah lagi peluang beribadah itu dipermudahkan oleh Allah SWT. – Utusan