Ketua Kluster Pertanian dan Makanan Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Ghizan Saleh berkata, langkah itu seharusnya dimulakan sekarang dengan penghasilan baka yang baik menerusi usaha pembiak baka yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh.

“Negara kekurangan baka yang baik bagi pasaran daging lembu yang berkualiti. Justeru, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pengeluaran daging lembu dapat ditingkatkan.

“Selain itu, penternak perlu mengamalkan pemberian makanan yang bermutu tinggi kerana ia penting bagi memastikan berat badan ternakan meningkat selain kualiti daging yang setanding dengan luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu pengambilan daging import menyebabkan penguasaan kartel daging di negara ini hingga menyebabkan harga daging terus dikawal oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Mingguan Malaysia melalui kolum Awang Selamat menyatakan harga daging boleh dikawal jika pengeluaran daging tempatan mampu untuk memenuhi keperluan dalam negara tanpa permainan kartel.

Ghizan berkata, aktiviti mengimport anak lembu hidup untuk dibesarkan di sini juga perlu dikurangkan dan menggalakkan penternakan dari anak lembu lagi.

Menurutnya, semua usaha itu perlu dilakukan secara menyeluruh bukan hanya pada segelintir penternak sahaja kerana masih ada yang menjalankan ternakan secara tradisional.

“Pengusaha perlu mendapatkan latihan yang mantap agar tahu amalan terbaik bagi setiap ternakan mereka khususnya dalam pemberian makanan dan pembiakbakaan bagi menambah pengeluaran daging dan juga kualiti ternakan,” katanya.

Pandangan tersebut turut dikongsi Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Shukor Juraimi yang mahukan transformasi segera dilakukan bagi meningkatkan produktiviti lembu di negara ini dalam mengurangkan import daging dari luar negara.

Menurutnya, walaupun ada di antara pengusaha mempunyai baka yang baik namun ia tidak diusahakan bersungguh-sungguh serta tidak mempunyai program pembiakan yang sistematik.

Beliau menambah, ada sesetengah perkhidmatan tambahan yang dibekalkan pula tidak dilakukan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan yang cukup menyebabkan maklumat tidak sampai kepada pengusaha.

“Perkara lain seperti makanan kurang berkualiti, kawalan penyakit dan penternak yang kurang berdedikasi antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan industri ternakan negara yang perlu diubah segera,” katanya.