Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, kemalangan jalan raya dapat dihindari dengan mengambil contoh negara seperti Jerman dan Jepun yang mengendalikan sistem penghantaran kurier secara bersistematik.

Katanya, sistem yang diamalkan oleh negara maju itu harus dicontohi kerana sistem itu memboleh­kan pihak syarikat dan pengguna mengakses kedudukan pemandu termasuk mengenal pasti tahap kesihatan mereka.

“Pelbagai pihak melibatkan kerajaan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah melancarkan modul keselamatan dan pemanduan berhemah dalam menjadikan kerjaya pemandu di dalam industri pos dan kurier sebagai suatu kerjaya profesional yang mempunyai tahap kompetensi yang tinggi.

“Justeru, saya harap usaha ke arah kemalangan jalan raya sifar ini mendapat kerjasama daripada syarikat penghantaran dan agensi-agensi keselamatan jalan raya yang lain seperti JKJR dan Miros,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan karnival #SampaiDengan Selamat di sini hari ini.

Karnival selama dua hari yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu bertujuan untuk membudayakan pemanduan berhemah kepada pekerja pos dan kurier.

Karnival itu juga bertujuan untuk meningkatkan tahap profesionalisme pemanduan dalam kalangan warga kerja selain melahirkan pekerja yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Sementara itu, Jailani berkata, peningkatan pembelian produk secara dalam talian di negara ini mempunyai potensi untuk terus berkembang.

“Ini sudah tentu akan memberi cabaran kepada SKMM, industri pos dan kurier untuk menampung permintaan pasaran yang dijangka mampu mencapai sehingga satu bilion bungkusan penghantaran menjelang 2025.

“Oleh itu, bagi memastikan industri pos semakin moden dan bertaraf dunia, kita juga perlukan infrastruktur moden bagi memastikan perkhidmatan mencakupi permintaan di dalam pasaran,” ujarnya.