Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), Woon Ching Ming berkata, hal demikian adalah kerana permainan digital semakin diminati dan menjadi salah satu aktiviti sihat yang popular dalam kalangan ge­nerasi muda.

“Malaysia memiliki lambakan generasi muda yang kreatif dan inovatif dalam menjadi pemain dan pencipta bagi program permainan digital setanding negara-negara ma­ju yang lain.

“Dengan adanya lebih banyak usaha untuk membangunkan industri ini, diyakini dapat memberi pulangan lumayan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anugerah kepada pemenang bagi kejohanan Pikom Game Masters 2014 di sini hari ini.

Pikom Games Masters yang dianjurkan sempena pameran serta jualan barangan elektronik dan komputer anjuran Pikom adalah bertujuan untuk mengiktiraf pemain-pemain permainan digital Dolta seluruh negara.

Pemenang dipilih berdasarkan undian terkumpul yang dibuat secara dalam talian menerusi laman Facebook Pikom Games Masters.

Johan keseluruhan dimenangi kumpulan Minesti yang membawa pulang hadiah RM10,000.

Ketua kumpulan Minesti, Johnny Lee berkata, permainan Dolta menjadi aktiviti riadah semenjak di bangku sekolah lagi.

“Dolta merupakan sebuah permainan digital yang mampu mencabar minda kerana memerlukan kekuatan mental dalam mengatur strategi bagi mengalahkan pesaing.

“Selain itu, permainan ini me­nguji tahap kerjasama dalam pasuk­an kerana memerlukan komitmen tinggi setiap ahli,” katanya.