Pengarang Kanan, Unit Media Baharu Utusan Malaysia, Aznan Bakar berkata, akhbar perlu menggunakan segala platform yang selalu digunakan supaya dapat memenuhi kehendak pengguna .

" Hari ini, media cetak perlu berubah mengikut perkembangan semasa kerana pengguna kini tidak lagi mendapatkan akhbar dan membaca berita secara konvensional sebaliknya bergantung sepenuhnya telefon pintar.

"Kita juga perlu tahu apa yang dikehendaki pengguna supaya organisasi kita terus relavan," katanya ketika menjadi panel yang bertajuk Membentuk Laporan Berita Media Baharu ke Arah Teknologi Digital dan Cabaran,  di sini hari ini.

Sebanyak enam topik diskusi yang dibincangkan sempena Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017  berlangsung selama dua hari yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia turut disertai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar selain kira-kira 300 peserta dan panel diskusi media.

Aznan menambah, media sosial seperti laman Facebook, Instagram,Twitter dan Google kini menjadi persaing utama dan turut menjadi sumber berita kepada pengguna terutama golongan muda.

"Inilah realiti yang kita alami hari ini, sebab itu kita perlu berusaha lebih kuat dan sentiasa mencari jalan supaya akhbar tempatan terus dengan menggunakan teknologi  terkini," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Utusan Malaysia kini dalam usaha mempelbagai penyampaian termasuk menggunakan video melalui kaedah MOJO (Mobile Journalism) . UTUSAN ONLINE