Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, buku panduan tersebut perlu dirujuk oleh penggiat seni dalam menghasilkan karya kreatif sebagai syarat untuk mendapat pembiayaan daripada agensi berkenaan.

Katanya, buku itu diterbitkan bertujuan memastikan industri krea­tif negara tidak terdedah kepada percampuran budaya barat yang menampilkan adegan lakonan tidak sesuai untuk tontonan umum.

“Masih terdapat syarikat atau usahawan penerbitan ini sukar mendapatkan pembiayaan kerana produk yang dihasilkan tidak menepati syariah.

“Biarpun moral dan mesej yang ingin disampaikan adalah baik tetapi pematuhan kepada hukum syariah perlu diberi keutamaan, misalnya masalah aurat, olahan skrip dan pengarahan perlu menjurus kepada kepatuhan syariah yang jelas dan nyata tidak bertentangan dengan hukum syarak,” katanya ketika berucap dalam Seminar Patuh Syariah di sini hari ini.

Seminar anjuran Mara dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohid Mohamed.

Yang turut hadir, Pengurus Besar IKSIM, Dr. Mohd. Fauzi Shaffie.

Ibrahim berkata, terdapat juga produk industri kreatif yang menggunakan bahasa kesat dan kurang sopan selain filem berunsur tahyul, hantu serta ganas yang memupuk nilai-nilai negatif dalam kalangan penonton sehingga menjadi penghalang kepada pembinaan sahsiah peribadi yang baik.

Sementara itu, katanya, Mara menyediakan beberapa produk yang menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta bagi membantu kejayaan penggiat industri kreatif, antaranya Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike).

Menurut beliau, Mara Kuala Lumpur telah memberikan pembia­yaan sebanyak lebih RM142 juta kepada 1,047 usahawan bagi tempoh 2012 hingga Ogos tahun ini melalui produk pembiayaan Spike.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM15 juta telah disalurkan kepada lebih daripada 60 syarikat penerbitan yang kebanyakannya mendapat kontrak kerja daripada agensi televisyen.

“Saya menyeru kepada penggiat seni kreatif untuk bersama-sama dengan Mara dan IKSIM mengangkat industri ini agar menjadi platform bagi memartabatkan Islam di Malaysia secara khusus dan dunia amnya,” jelasnya.