Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, RISDA yang sebelum ini hanya dikenali sebagai agensi penanaman semula getah telah mengorak transformasi melalui program pembangunannya.

Menurutnya, inisiatif yang tertumpu kepada usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil di seluruh negara melalui bidang kraftangan itu sememangnya berpotensi untuk berjaya hasil permintaan tinggi produk berkenaan dalam pasaran kini.

“Bidang yang telah lama dite­rokai itu kini semakin menampakkan potensinya malah mampu menjadi prospek baik dalam bidang perniagaan serta membantu golongan pekebun kecil di seluruh negara meningkatkan ekonomi mereka.

“Program kraf berasaskan daun getah ini juga berupaya meletakkan produk pekebun kecil di persada global dan antarabangsa dengan bantuan serta sokongan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau ditemui selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron merasmikan Galeri Hevea Selandar di Taman Jus Perdana, Selandar di sini, hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Korporat RISDA, Ihwan Sudim; Pengarah RISDA Melaka, Abd. Aziz Rahim, Pengawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya, Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Datuk Khamsiyah Yeop dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan RISDA, Halimah Abd. Kadir.

Hasan berkata, pembukaan galeri yang pertama seumpama­nya di negara ini itu bakal menjadi satu lagi ikon negara dan Melaka sebagai showcase pertanian negara yang sentiasa diberi tum­puan oleh kerajaan negeri.

Katanya, selain memberi sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil, program menginovasikan daun getah kepada kraf itu juga secara tidak langsung boleh dijadikan ikon pelancongan terutamanya di kawasan Selandar.

“Orang ramai dan pelancong pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri keunikan produk kraftangan ini serta dijadikan cenderahati untuk dibawa pulang ke negara masing-masing,” tambahnya.

Beliau berkata, hasil daripada program yang diperkenalkan RISDA itu semestinya akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan industri hiliran getah seterusnya boleh diketengahkan menjadi usahawan berjaya pada masa depan.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha ini dan akan membantu mempeluaskan lagi pasaran produk hevea ke pasaran domestik melalui institusi korporat, hotel dan agensi kerajaan selain dieksport ke luar negara sebagai cenderahati utama negara,” tambahnya.

Sementara itu Ihwan memberi­tahu, pada peringkat permulaan, fokus utama penubuhan Galeri Hevea Selandar berkenaan adalah untuk menjana sumber pendapatan kepada usahawan kraftangan daun getah itu sendiri.

Katanya, RISDA tidak meletakkan sasaran jualan namun dalam masa sama akan terus mempertingkatkan usaha mempromosikannya ke seluruh negara untuk dijadikan kraftangan semasa maj­lis perkahwinan dan keraian selain dijadikan cenderahati kepada pelancong.

“RISDA turut merancang membuka galeri sama di negeri-negeri lain pada masa akan datang terutamanya di negeri tumpuan pelancong,” jelasnya.

Galeri Hevea Selandar boleh dikunjungi di alamat PT 627, Jalan Jus Perdana 1, Taman Jus Perdana, Bukit Senggeh, Jasin atau lawati laman sesawang usahawanrisda.com/galerihevea.