Dalam Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP) yang dikeluarkan hari ini, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata perkembangan terbaru dalam suasana pasaran hari ini digelar “Industri 4.0” turut memperlihatkan ciri-ciri pendigitalan dan kesalinghubungan produk, rantaian nilai serta model perniagaan.

Selain inovasi, laporan itu turut menekankan bahawa usaha berkenaan perlu mengambil kira suasana ekonomi serta perniagaan semasa.

"Ini termasuk peningkatan persaingan sengit dari negara- negara seperti Vietnam dan India serta keperluan untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan mengekalkan daya saing seiring dengan kemajuan syarikat multinasional," kata laporan itu.

Malah, penubuhan Majlis Strategik Elektrik dan Elektronik (EESC) pada tahun 2015 juga dilihat sebagai satu perkembangan penting bagi industri E&E selain membuktikan gandingan kedua-dua sektor swasta dan kerajaan dalam usaha menerajui hala tuju industri di Malaysia.

"EESC telah mengenal pasti tujuh subsektor untuk perkembangan strategik masa hadapan dan selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan aktiviti bernilai tinggi dan hasil eksport industri E&E," kata laporan berkenaan.

Industri E&E juga berjaya mewujudkan sejumlah 117,609 peluang pekerjaan baharu di negara ini pada akhir tahun 2016 dan dijangka mampu mencapai sasaran sebanyak 157,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020.

Laporan itu menyatakan, sejak permulaan NTP pada tahun 2010, perkembangan pesat dalam sektor pencahayaan ''light-emitting diode'' (LED) telah membolehkan 11 syarikat Malaysia menembusi pasaran dunia dengan hasil jualan gabungannya bernilai RM125.2 juta setakat ini.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam laporan sama berkata permintaan pasaran dalam industri E(amp)E terus dipacu oleh penggunaan aplikasi Internet of Things (IoT) dalam bidang komunikasi tanpa wayar.

"Kami yakin bahawa inisiatif-inisiatif sedia ada di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), bersama-sama penekanan yang berterusan kepada inovasi, mampu memacu Malaysia dalam mencapai sasaran untuk tahun 2020," katanya. - Bernama